“Sudah tahu kan, saya bercerai pada 16 Mac lalu di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur dengan talak satu. Semua kes tuntutan kami juga sudah diselesaikan di luar mahkamah,” ringkas tetapi isi bicaranya cukup memberi penegasan kepada status dirinya kini.
Sepanjang tahun lalu, kisah rumah tangga pelakon yang mendadak popular menerusi drama bersiri Puteri itu hangat dibongkar. Semua hal kain dalam dia dan isteri, Intan Shahira Mohd. Shahru serta keluarga dilaporkan oleh media. Paling tragis, perkahwinan mereka berkecai selepas tiga bulan berbanding cinta yang dibina selama sembilan tahun.


Memalukan juga apabila perkahwinan mereka ditentang oleh kasta keluarga mertua kerana Beego dianggap tidak berpendidikan kerana hanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bekas isterinya kemudian mendedahkan dia terpaksa berhutang lebih RM70,000 untuk majlis persandingan mereka selain mengambil suntikan mencegah hamil kerana enggan memiliki zuriat daripada Beego.
Sehingga begitu sekali tragis kisah peribadi pelakon berusia 29 tahun itu yang kemudian memaksa dia melupakan dunia lakonan buat seketika. Lapan bulan menyepi, Beego kini kembali dengan semangat baru. Semangat yang dikutip daripada serpihan hatinya yang sudah berkecai.
“Ini lakonan pertama saya selepas lama menyepi. Drama siri Cuci Cuci Services ialah produksi milik Hans Isaac, yang diarahkan Harun Salim Bachik. Rindu juga nak kembali berlakon,” katanya merujuk kepada drama lakonannya itu.
Sepanjang kami berbicara tentang masa silamnya, Beego sedaya upaya mengumpul kekuatan diri.
“Saya seperti mengebom diri sendiri apabila melafazkan cerai demi kebahagiaan kami berdua. Ini dugaan terbesar dalam hidup saya. Saya tak pernah bayangkan cinta pertama yang saya pupuk selama sembilan tahun, kemudian kami berkahwin dan saya sangkakan berpanjangan, tidak menjadi,” katanya pasrah.
Berkelana lapan bulan
Kesan daripada tragedi perkahwinan yang dilaluinya, Beego mengaku hatinya trauma. Selama lapan bulan dia mengurung diri, mencari dan cuba mencantum semula serpihan hatinya yang hancur.
Maka berkelana dia ke Thailand, Singapura, Johor Bahru dan sekejap-sekejap di Kuala Lumpur untuk menenangkan hati. Semua tawaran lakonan yang datang ditolak mentah-mentah kerana dia berasa tidak mampu memberi komitmen terhadap kerja. Dia seperti telah mati.
Tetapi akhirnya dia sedar, sampai bila dia mahu menyeksa diri. Dia juga mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri dan keluarga. Yang penting, wang tabungan juga habis digunakan sepanjang tempoh lapan bulan dia mengasingkan diri daripada dunia realiti.
“Itu antara sebab saya berlakon semula. Betul, saya tak mahu tipu. Semua wang tabungan saya habis digunakan sepanjang lapan bulan tidak bekerja. Dan saya juga fikir, sampai bila saya ingin ikutkan perasaan?
“Saya tahu, dugaan ini ada hikmah. Jadi saya harus bangkit. Ya, saya kecewa dan masih berasa sakit hati, tapi jika saya tidak menolong diri sendiri untuk bangkit, tiada orang yang mampu membantu saya,” luahnya.









